Ahad, 27 April 2014














GURINDAM DUA BELAS                                                      
karya Raja Ali Haji


 Pasal pertama

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.
                                                                           
Pasal ke-2

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

Pasal ke-3

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

Pasal ke-4

Hati kerajaan di dalam tubuh,
jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.


Pasal ke-5

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Pasal ke-6

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi,

Pasal ke-7

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

Pasal ke-8

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.

Pasal ke-9

Tahu pekerjaan tak baik,
tetapi dikerjakan,
bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Pasal ke-10

Dengan bapak jangan durhaka
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai
supaya dapat naik ke tengah balai.
Dengan istri dan gundik janganlah alpa
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil.

Pasal ke-11

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
jangan memalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

Pasal ke-12

Raja mufakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.


Senjata Yang Digunakan Oleh Hang Tuah


1. Keris Taming Sari



# Keris ini merupakan keris kurniaan Betara Majapahit kepada Hang Tuah kerana beliau berjaya membunuh Taming Sari (pembunuh upahan Patih Gajah Mada).
# Dikatakan keris Taming  Sari  mempunyai  aura yang  tersendiri kerana keris ini mampu membunuh kekebalan. 
# Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas.
# Keris  ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana  haluan  dalam  mengejar musuh.
# Keris ini juga digunakan oleh Hang Jebat untuk menguasai Istana Melaka setelah kematian Hang Tuah
# Keris yang sama digunakan oleh Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat atas perintah Sultan Mahmud.


2. Keris Tempa Melaka (Keris Panjang)



# Keris panjang kepunyaan Hang Tuah merupakan keris utama bagi Hang Tuah.
# Ianya diberi nama Keris Tempa Melaka
# Keris panjang mempunyai panjang mata bilah melebihi 13 inci terkadang sampai 33 inci.
# Kebiasaan panjangnya menyamai panjangnya pedang Melayu yang mana ada petua khas bagi ukuran     panjang untuk seseorang pemakainya.
# Ulu keris panjang tidak serupa ulu keris pendek.
# Ulunya seperti ulu keris  sundang, iaitu kemas  dipegang sesuai dengan peranannya menikam,  melibas,     memarang, memancong, menetak, menyangga dan lain-lain kaedah persilatan dalam menggunakan senjata.

3.Keris Pendua (Keris Pendek)


# Keris pendek juga dikenali sebagai keris pendua tidak banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah      berbanding keris panjang.
# Panjangnya kurang dari 13 inci.
# Penggunaan keris pendek ini kebanyakannya diajarkan dalam silat-silat Melayu Nusantara hari ini.
# Kaedah utama persilatan ialah elakan dan lompatan.
# Mengelak dengan lompatan ke kiri atau ke kanan lalu apabila terluang menyerang, iaitu menikam lawan.
# Kaedah ini juga disebut sebagai kaedah dua gerak.


4. Kapak


# Setelah balik daripada berguru, Hang Tuah menghadapi peristiwa orang mengamuk di tengah pesara (Pasar).
#Ramai orang yang luka dan mati dibunuhnya.
# Ketika itu Hang Tuah sedang bekerja membelah kayu api dekat rumahnya dengan kapak.
# Hang Tuah membunuh orang yang mengamuk dengan kapak (Axe-wing).
# Melalui peristiwa ini, Hang Tuah menerima jawatan Laksamana.




SULALATUS SALATIN





UNSUR MITOS DAN LAGENDA YANG TERDAPAT DALAM SEJARAH MELAYU

Penulisan Karya Agung Melayu mula ditulis selepas abad ke-15. Antara karya agung Melayu yang terkenal adalah Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya. Namun, bagi entri kali ini kami telah memilih Sulalatus Salatin untuk mengkaji mitos dan lagenda yang terkandung di dalam karya agung ini. Eloklah kiranya sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam, marilah kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan mitos dan lagenda. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2006), mitos membawa maksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam. Menurut Noriah Taslim (1986), mitos dikatakan sebagai tradisi agama Hindu, raja-raja itu ialah dewa raja (God-King) iaitu raja adalah bayangan Tuhan. Konsep ini telah menyebabkan masyarakat membenarkan dan mempercayai hakikat kehebatan raja. Kesimpulannya, mitos bermaksud kepercayaan atau keyakinan yang diterima bulat-bulat tanpa bukti.
Legenda pula didefinisikan sebagai cerita yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Legenda adalah satu genre dalam kelompok cerita-cerita rakyat.
Harun Mat Piah (2003), mengemukakan takrifan lebih terperinci terhadap pengertian legenda. Selain memberi definisi khusus, beliau turut membuat perbandingan yang jelas antara legenda dengan mitos. Legenda ialah cerita yang serius, dipercayai sebagai benar dan juga mengandungi ciri-ciri luar biasa, Legenda membicarakan tokoh-tokoh suci, juga tokoh-tokoh sekular, makhluk ghaib atau manusia biasa, boleh berlaku pada masa lalu tetapi tidak terlalu silam seperti mitos, atau masa kini, malah berterusan ke masa depan. Secara kesimpulannya, legenda dapat didefinisikan sebagai cerita prosa rakyat yang ditokohi oleh manusia yang ada kalanya mempunyai sifat-sifat luar biasa yang dibantu oleh kuasa atau makhluk lain.


Ciri-ciri Mitos

Mitos mempunyai perbezaan dengan legenda.  Terdapat beberapa ciri yang dapat dikenal pasti yang menunjukkan cerita tersebut adalah bersifat mitos.  Antaranya ialah, cerita mitos dianggap sebagai cerita rekaan tetapi masyarakat tradisional mempercayai yang cerita mitos itu benar-benar berlaku. Cerita mitos dari segi isi dan tema, adalah dihubungkan dengan asal usul bermulanya sesuatu kejadian, benda, binatang, manusia, asal usul nama tempat, asal usul keturunan raja dan lain-lain lagi. Setiap asal usul itu dikaitkan dengan pelbagai peristiwa dengan keadaan yang luar biasa tetapi dipercayai benar-benar berlaku.

Cerita mitos juga dikatakan sebagai sebuah naratif tradisional atau cerita lama yang diperturunkan sejak zaman dahulu.  Contohnya cerita dongeng, cerita binatang, lawak jenaka dan lain-lain.  Struktur cerita mitos kebiasaannya berkaitan dengan pegangan dan kebudayaan.  Menurut Hashim Awang (1985), ciri-ciri cerita mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia atau makhluk atau peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima oleh akal manusia.

Bagi masyarakat Melayu tradisional, cerita mitos adalah suci dan mulia serta berlawanan kepada sifat duniawi.  Cerita mitos adalah cerita tentang dewa-dewi dari kayangan dan dipercayai ada kaitan dengan unsur keagamaan, bersifat suci dan kudus. Banyak pantang larang dikenakan dalam hal mematuhi cerita mitos.  Masyarakat percaya bahawa mitos  ini benar-benar berlaku dan menjadikannya sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersenda-sendakan.  Tambahan lagi, mereka menganggap masyarakat yang tidak mempercayai dan melanggar pantang larang akan menerima balasan dan mala petaka. Namun begitu, sesiapa yang percaya dengan mitos dan mematuhi pantang larang tersebut akan mendapat kebaikan dan kurniaan.

Latar masa bagi cerita mitos adalah pada zaman pra-sejarah iaitu zaman “animisme”. Semua masyarakat Melayu lama percaya pada kepercayaan animisme.  Hal ini demikian kerana, masyarakat pada zaman dahulu masih terpengaruh dengan agama Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang memeluk Islam dan agama Islam sudah tersebar.

Latar tempat cerita mitos merangkumi segenap penjuru alam sama ada di dunia luar, di dunia kayangan atau di dasar.  Latar tempat sejarah juga terdapat dalam cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul negeri Melaka sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat sejarah.  Latar tempat di dasar laut pula melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu iaitu seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain iaitu Raja Suran yang memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama Dika. Beliau berkahwin dan mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu. Anak-anak bagindalah kemudiannya menjadi raja Palembang, Singapura dan akhirnya menjadi raja negeri Melaka.
Selain itu, mitos juga dapat dikenal pasti mengenai mitos tentang makhluk dengan tuhan atau nabi.  Sebagai contoh, dalam teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menceritakan tentang Merah Silu yang bermimpikan Rasulullah.  Di dalam mimpi tersebut Rasulullah menyuruh Merah Silu mengangakan mulutnya lalu Baginda meludah ke dalamnya.  Apabila Merah Silu terjaga dari tidur, dia mendapati bahawa dia telah pandai membaca al-Quran.   Selain itu, dapat dilihat kisah perkahwinan anak Raja Kida Hindi, iaitu Puteri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar yang berwalikan Nabi Khidir.  Sebelum Puteri Syahrul Bariyah dikahwinkan dengan Raja Iskandar, Raja Kida Hindi menyuruh Perdana Menteri bertanyakan Nabi Khidir tentang gerangan yang akan dijodohkan dengan puterinya.

Tambahan lagi, mitos yang mengaitkan dengan nabi dapat dilihat berdasarkan kisah kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar, iaitu Sultan Muhammad Syah yang telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang diimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.

Watak- watak dalam cerita mitos pula terdiri daripada Tuhan dan dewa-dewi sebagai watak-watak bukan manusia. Dalam cerita mitos juga terdapat watak manusia dan binatang. Beberapa contoh dapat dilihat di dalam teks Sejarah Melayu. Umpamanya nama samudera-pasai berasal daripada semut besar. Nama ini diperoleh daripada peristiwa seekor anjing bernama Si Pasai yang menyalak bukit kerana nampak semut sebesar kucing. Selain itu, pembukaan nageri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing.  Sempena dengan peristiwa yang luar biasa ini maka Sultan Malikul Salleh membuka sebuah negeri baru yang dinamakannya Samudera-Pasai.  Melalui mitos nama tempat ini, watak-watak yang terlibat melibatkan watak manusia dan bukan manusia iaitu watak Malikul Salleh, anjing dan semut besar.

Ciri-ciri lagenda

Isi dan tema cerita lagenda berkaitan dengan tokoh-tokoh terkenal yang dipercayai pernah hidup suatu ketika dahulu, dikaitkan dengan sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya, menjadi kebanggaan masyarakat setempat yang dianggap mempunyai keistimewaan dan bersifat kudusLegenda ialah cerita yang mengisahkan kebesaran dan keistimewaan seseorang tokoh yang diyakini kewujudannya oleh masyarakat. Cerita tersebut sering kali dibuat secara berlebih-lebihan dan melampaui kelaziman yang biasa dimiliki oleh seseorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh lagenda ini juga bercampur aduk antara unsur sejarah dengan unsur fantasi. Tokoh-tokoh lagenda itu biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa. Tokoh-tokoh lagenda biasanya mempunyai ciri seperti memiliki rupa paras yang kacak dan tampan, berperibadi mulia, dan bijaksana. Ketampanan, kemuliaan dan kebijaksanaan mereka dikagumi dan disenangi setiap orang.

Selain itu, ciri-ciri lagenda ialah watak dan perwatakan terdiri daripada golongan yang disegani, watak ini biasanya memiliki ilmu kepahlawanan, cekap bermain senjata, gagah dan perkasa serta berani. Kehebatan mereka selalunya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pahlawan sekalipun. Mereka memiliki ilmu kesaktian ataupun ilmu hikmat yang membantu mereka dalam apa-apa jua keadaan semasa berjuang. Mereka, taat dan setia kepada keluarga dan raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka begitu luhur clan suci, mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia biasa. Berdasarkan  pada hakikat tersebut, dapat ditemukan perbezaan yang ketara antara legenda dengan mitos.Legenda lebih berpijak di bumi nyata, yakni tokoh yang dipusatkan 'lazimnya memang pernah hidup (diyakini kewujudannya) dan tokoh itu banyak jasanya. Mereka disenangi dan menjadi sebut-sebutan (idola) masyarakat dan lantaran itu, perwatakan mereka telah ditokok tambah oleh masyarakat, malah sikap, pemikiran, dan tindakan mereka, dijadikan ikut-ikutan oleh kelompok tertentu.

  Seterusnya ialah, latar tempat. Latar tempat berpusat kepada dunia nyata dan bukan dunia kayangan. Terdapat tanda-tanda atau kesan sehingga sekarang yang dapat dikaitkan dengan tokoh-tokoh legenda di negeri-negeri tertentu. Contohnya perigi Hang Tuah di Melaka dan Makam Mahsuri di Langkawi, tempat ini dikatakan benar-benar wujud sehingga kini. Antara cerita tentang Mahsuri ialah, cerita tentang tuah anak yang dikandung isterinya bertambah hebat apabila suatu malam , Pandak Maya terdengar suara ular itik (ular cinta Mani) berdekatan rumahnya. Pandak Maya berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging itik ini akan beroleh rezeki yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi bakal lahir membawa tuah. Apabila tiba masa, Mak Andak Alang melahirkan bayi perempuan yang comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah apabila Pandak Maya menjumpai batu kermian yang kemudiannya dijual kepada tauke Cina di Padang Mat Sirat.

Mahsuri membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya yang membezakan. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di Langkawi. Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua. Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir Langkawi. Hal ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan begitu sahaja isterinya. Sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan. Aneh kerana yang bersalah ibu mertuanya Mahura dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja dan bukan seluruh Langkawi. Aneh lagi kerana selepas itu sememangnya Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba. Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.
Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan. Sehingga kini tempat ini menjadi tempat pelancongan.

Fungsi Mitos

Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti buluh, buih dan mayang pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini digembar gemburkan adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana, dalam kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri Mahtabu’l Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam laut dan kayangan, (Yusoff Iskandar, 1986).

Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran, yang merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah negeri yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri daripada orang kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin dengan puteri kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan tiga orang putera.

Raja Suran kemudiannya pergi menemui raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk puteranya. Mahkota itu menjadi lambang kebesaran dan keturunan Iskandar Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar dari laut dan menuju ke udara dengan menunggang seekor kuda terbang yang bernama Faras’ul Bahri.
Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang cuba untuk mengagung-agungkan kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis kebolehan dan keistimewaan baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan tersebut ditunjukkan menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan keluar dari laut dengan menungggang kuda terbang.

Seterusnya, mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos berkenaan dengan asal usul sesuatu tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan unsur-unsur binatang dan anasir-anasir alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-lain. Binatang yang dijadikan unsur mitos itu pula terdiri daripada binatang yang luar biasa sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk, anjing dan semut besar, (Yusoff Iskandar, 1986).

Contoh ini dapat dilihat dalam kisah bagaimana Singapura mendapat nama. Menurut Sejarah Melayu, nama Singapura ini diambil daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita ini dikaitkan dengan kisah putera ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang terserempak dengan binatang ini sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu, Sang Nila Utama bertanya kepada semua orang yang berada di sekelilingnya berkenaan nama binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun yang tahu. Akhirnya, Demang Lebar Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil menambah, tempat ini baik untuk dibuat negeri kerana mempunyai binatang yang gagah. Lalu terbentuklah kerajaan Singapura yang mendapat nama dari singa, manakala pura pula, merujuk kepada bandar dalam bahasa Sanskrit.

Mitos juga turut dikaitkan dengan sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai, (Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini dibuat adalah untuk membezakan cara rakyat dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara yang lebih istimewa dalam memeluk agama Islam berbanding rakyat jelata. Pengislaman raja ini dikatakan berlaku secara langsung dari Mekah dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa orang wali yang mempunyai hubungan dengan penyebaran Islam di Melaka dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul berikutan sifat sosial dan politik raja itu yang sememangnya mempunyai taraf yang tinggi dalam masyarakat. Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat mengetahui cara agama Islam berkembang di Melaka, iaitu melalui raja. Seterusnya, pengislaman raja ini diikuti oleh pembesar dan rakyat jelata.

Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua kalimah syahadah oleh Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan mengenai namanya yang telah ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja baginda tersedar daripada mimpi, badan baginda dikatakan berbau wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut baginda pula, lancar sahaja mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.

Selain itu, mitos juga turut dikaitkan dengan popular idea berhubung dengan sesuatu peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini dipercayai hanya dialami oleh raja ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan istana. Antara contoh popular idea ini ialah berkaitan dengan konsep daulat dan derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik, iaitu daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak daulat yang dimiliki oleh raja tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari, dalam erti kata yang lain derhaka kepada raja, orang tersebut akan menerima balasan yang buruk.

Antara contoh kisah yang berkenaan dengan konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada Raja Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit, musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di Singapura.

Disamping itu, mitos juga digunakan sebagai dakyah untuk mengecam penyelewengan yang selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff Iskandar, 1986). Penggunaan mitos digunakan kerana kritikan secara terang-terangan atau langsung kepada raja, boleh menyebabkan seseorang itu dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan ini disampaikan dalam bentuk mitos yang pelbagai.

Contoh mitos yang berfungsi sebagai kritikan ini dapat dilihat dalam kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk dijadikan hantaran bagi meminang dirinya. Kesemua syarat-syarat tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun berat. Namun, apabila tiba kepada syarat yang melibatkan nyawa anakanda baginda, baginda tidak sanggup untuk melakukannya. Hal ini jelas membuktikan bahawa baginda seorang opportunist, (Yusoff Iskandar, 1986). Baginda sanggup membiarkan rakyat terkorban dan menderita asalkan kemahuan baginda tercapai, namun apabila kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri dan keluarganya, baru lah baginda melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.

Fungsi Legenda

Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah umpamanya.  Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.

Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.  Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.  Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’.  Barangsiapa yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.

Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut.  Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya.  Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993).  Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.

Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang Melayu.  Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya.  Baginda bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga.  Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi.  Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam.  Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka.  Berikut merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
                                                                                                                 (Sulalatus Salatin, hlm. 107)

Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu.  Tujuan tokoh ini ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
                                                                                                                   (Sulalatus Salatin, hlm. 22)

Selain itu,  legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama Islam.  Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57).

Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya.  Hal ini demikian kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua perkara.  Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai.  Pada masa yang sama, perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.

Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.  Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.  Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162).  Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya.  Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.

Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163).  Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.

Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan  dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri.  Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda.  Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.
Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu.  Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan.  Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.  Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke generasi.

Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja.  Hal ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam.  Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah).  Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).

Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.  Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut.  Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.



LAMPIRAN

Berikut dilampirkan beberapa petikan asal yang diambil sebagai bukti rujukan kajian ini. Pada Bahagian I diceritakan mengenai legenda khususnya tokoh legenda, manakala dalam Bahagian II mengisahkan cerita mitos yang menarik.

Bahagian I
Tokoh legenda: Iskandar Zulkarnain

“…Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu. Maka alahlah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruh oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahim...”
“…bahawa anakku yang tiada taranya seorang pun anak raja-raja pada zaman ini, itulah hendak aku persembahkan kepada Raja Iskandar;…”
                                                 ( Sulalatus Salatin: hlmn 4 )

Tokoh legenda: Hang Tuah

“ …Tuanku, yang kegemaran paduka baginda itu, jikalau ada budak laki-laki yang baik rupanya dan sikap serta dengan beraninya, itulah kegemaran paduka baginda…”

 “…Maka didengarinya, ada anak Raja Bajung yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati. Maka segala juak-juak itu pun pergilah ke Bajung…”

                                                                                                                  ( Sulalatus Salatin: hlmn 103 )

 “…Tiada tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa…Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah;…”
                                                                                                                  ( Sulalatus Salatin: hlmn 105 )


Bahagian II
Mitos: Singapura dilanggar todak

“…Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Katib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; disanalah ia ditikam orang. Maka titik darahnya setitik, badannya pun ghaiblah…”
 “…maka oleh perempuan yang membuat bikang itu, darah Tuan Jana Katib yang titik itu ditutupnya dengan tudung bikangnya. Dengan berkat darah wali Allah, perempuan itu pun menjadi kayalah harga bikangnya;…”
                                                                                                                ( Sulalatus Salatin: hlmn 67 )

 “…Ada diceritakan orang, badan Tuan Jana Katib itu terhantar di Lengkawi, ditanamkan orang di sana…”
                                                                                                                 ( Sulalatus Salatin: hlmn 68 )


Mitos: Peminangan Puteri Gunung Ledang

“…Maka Tun Mamad pun naiklah dengan dua orang yang pantas berjalan sertanya, naik ke Gunung Ledang itu. Setelah datanglah had buluh perindu, maka Tun Mamad dengan dua orang yang naik itu, seperti akan terbanglah rasanya, daripada sangat amat keras angin bertiup; maka awan pun seperti dapat dicapai lakunya, dan bunyi buluh perindu itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang dengan suatu taman, terlalu indah perbuatannya…”
                                                                                                                   ( Sulalatus Salatin: hlmn 213 )

 “… maka dilihatnya serba bunga yang ada di dalamnya pelbagai jenis, dan buah-buahan yang ada di dalam dunia ini adalah di taman itu, sekaliannya lengkap dengan jambangannya, pelbagai rupa jambangannya. Setelah segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam hutan itu melihat Tun Mamad datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak, anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun serta berseloka…”
                                                                                                                    ( Sulalatus Salatin: hlmn 214 )



ILA GALIGO (Kisah kepulangan la Galigo ke cina dan terpikatnya kepada Ida Batangeng

. Lalu berangkatlah I La Galigo sampai ke istana Lakko Manurungnge Mai ri Luwu. Setelah tiba dilihatnya jamuan lengkap, ditunggui oleh puluhan dayang-dayang. Bertanyalah I La Galigo :
“Apa gerangan yang telah terjadi wahai para dayang-dayang, sehingga di sini tersedia jamuan lengkap yang kalian tunggui, padahal tidak ada raja yang duduk dihadapan kalian ?”
Para dayang-dayang lalu menjawab:
“Santapan sehari-hari wahai Paduka yang mulia untuk Baginda (Sawerigading) yang pergi berlayar, mengasingkan dirinya dinegeri yang jauh. Seorang pula yang telah gaib, melayang naik ke Botting-Langi’ (Tenriabeng, adik kembar Sawerigading), menemukan jodoh di Ruwa Lette. Beliaulah yang disiapkan santapannya.”
Berkata I La Galigo:
“Kumpulkan segenap dayang-dayang ini wahai Ina! Janganlah kalian menunggui jamuan, padahal di hadapan kalian tidak ada seorangpun raja yang bersantap.”
Sesudah itu I La Galigo meneruskan langkahnya hingga ke ruangan tempat penyimpanan Genrang mpulaweng Manurungnge Mai ri Luwu. Lalu diraihnya Genrang itu, kemudian ditabuhnya bersama-sama dengan La Sulolipu, suara
genrangnya bertalu-talu. Tak ubahnya bunyi genrang apabila Sawerigading yang menabuh bersama La Pananrang.
Maka bangkitlah Sawerigading di tepat tidurnya, sembari berkata:
“Telah tiba wahai adinda Cudai, putramu di Luwu. Kanda dapat mendengarkan bunyi gendangnya sampai kemari.”
Batara Lattu’ pun menggeliat diatas pembaringannya sambil berkata:
“Telah tiba nian putranda di Luwu, bermukim di tanah leluhurnya Wattang mpare sambil menabuh genrang mpluaweng manurungnge, bersama-sama La Pananrang.”
Berkatalah sang pengiring/pengawal Batara Lattu sambil menghaturkan sembah sujud:
“Konon kabarnya wahai Paduka yang mulia! Dia adalah putranda dari ananda Sawerigading yang berbalasan dengan putranya La Pananrang menabuh genderang di luar.”
Batara Lattu, berkata:
“Suruhlah ia masuk ke dalam kamarku, agar aku bertutur sapa dengan bocah itu.”
Maka berjalanlah I Lagaligo memasuki kamar kakeknya, Batara Lattu. Iapun menghaturkan sembah sujud sebanyak tiga kali, kemudian mengambil tempat duduk dihadapan Batara Lattu. Berkatalah Batara Lattu:
“Tinggallah dikau di Luwu wahai ananda Galigo, menemaniku, selaku oenggati ayahandamu sebagai Pangeran Mahkota di ibu kota kerajaan Luwu.”
I La Galigo menghaturkan sembah sujud sambil berkta:
“Tapak tangan hamba hanya sekedar gumpalan darah, tenggorokan hamba pun tak ubahnya kulit bawang. Semoga nian hamba tidak kualat dalam menjawab titah paduka.”
lanjut La Galigo:
“Mohon restu paduka yang mulia. Hamba tidak dapat tinggal menetap di Luwu ini, sebab adinda We Tenridio’ sedang terserang penyakit parah. Ia mengidap penyakit yang menuntut diadakannya upacara tradisi di negeri Luwu, sebagaimana halnya yang pernah dilakukan bagi Baginda Ratu yang mulia, Mallajangnge ri Kalempi’na. Demikianlah waha Paduka yang mulia, sehingga ayahanda tercinta Opunna Ware menitahkan hamba untuk menjemput Genrang mpulaweng anurungngE di Luwu ini.”
Berkatalah Batara Lattu:
“Kalaupun demikian berangkatlah ke tanah Ugi wahai ananda Galigo untuk mengantarkan Genrang pluaweng ManurungngE. Kelak, setelah selesai penyelenggaraan upacara selamatan bagi We Dio’, kembalilah kemari, untuk menggantikan ayahandamu sebagai penguasa di Wattang mpare.”
Sesudah selesai bertutur sapa dengan kakeknya, I Lagaligo pun melangkah ke luar. Berkisar satu tahun lamanya I Lagaligo tinggal di Luwu menunggui kakek dan ibu-ibu tirinya, barulah I Lagaligo bersama segenap sepupunya dan seluruh pengiringnya berlayar kembali menuju Cina. Diboyonglah Genrang mpulaweng ManurungngE ri Luw bersamanya.
Upacara selamaan We Dio’ pun diselenggarakan. Sudah empat puluh hari empat puluh malam lamanya penduduk bergembira ria di Latanete sambil memanggang kerbau. Berdatanganlah segenap sepupu I Lagaligo yang perempuan untuk menyaksikan keramaian di Latanete.
Pendopo penuh sesak dengan penduduk yang berdatanagan dari seganap penjuru. Tiada terkatakan ramainya suasana di Cina. Para anak-anak Datu yang tujuh puluh orang itu saling bergantian menabuh genderang, sehingga bunyinya pun bertalu-talu tiada hentinya. Tiada sekejappun genderang itu berhenti ditabuh silih berganti. I Lagaligo berpasangan dengan I La Sulolipu, La Pawennari dengan Sida’Manasa To Bulo’E, La Patenrongi dengan I La Pallajareng, dan berpasanganlah La Tenripale To Lamuru’E dengan La Pammusureng.
Para anak datu yang tujuh puluh orang itu tidak kunjung terlelap. Ingin pulalah I Da’Batangeng, Punna Lipu’E Cina Rilau, puteri La Makkasau menyaksikan keramaian di Latanete, maka bertitahlah ibundanya:
“Wahai anada I Da’Batangeng! Janganlah hendaknya ananda berkunjung ke Cina, hanya untuk menyaksikan keramaian di Latanete/Sinukkerenna I La Galigo/dari Luwu/Cobo’-cobonna maccariwakka I La Semmaga, tidak menyegani sesamanya raja, dianggapnya bahwa hanya dirinyalah raja yang berkuasa di kolong langit. Jangan sampai ditahannya usungan tumpanganmu dan tidak dibiarkannya dikau pulang kembali ke negerimu Cina Rilau.”
Berkatalah La Makkasau, ayahanda I Da’Batangeng, bahwa:
“Mengapakah gerangan wahai ibundanya I Da’Batangeng, maka dikau tidak memperkenankan keinginan putrimu pergi ke Cina, untuk menyaksikan keramaian di Latanete.”
Berkata pula Punna Lipu’E Cina Rilau (La MAkkasau):
“Kalaupun ternyata usungannya ditahan I La Galigo pakah salahnya jikalau ia dijodohkan dengan sepupunya itu. Biarlah putri kita pergi ke Cina, menyaksikan keramaian di Latanete.”
Maka berdandanlah I Da’Batangeng, bersalin pakaian yang indah lalu berangkatlah menuju Cina untuk menyaksikan keramaian di Latanete. Hanya dalam sekejap saja maka tibalah usungan yang membawa I Da’Batangeng. Ia lalu turun di depan istana. Ketika itu I La Galigo sedang mengadu ayam di atas arena adu ayam.
Ketika La Galigo menoleh, dilihatnya sepupunya yang sedang turun dari usungan, lalu melangkahkan kaki naik ke istana. Berkatalah La Galigo:
“Siapakah gerangan putri mahkota nan cantik jelita yang barusan tadi tiba dengan usungan ?”
La Pallajareng, menyahut:
“Rupanya dinda Galigo tidak mengenal sepupu kita Punna Lipu’E Cina Rilau. Ia bernama I Da’Batangeng, puteri Baginda La Makkasau.”
Serta merta I La Galigo mencampakkan ayam jagonya lalu bergegas melangkah ke istana untuk menyusul I Da’Batangeng. La Galigo langsung menuju ke atas pelaminan (lamming) menabuh genderang, berpasangan dengan La Sulolipu. Tabuhan genderangnya berbunyi seperti suara manusia:
“Dahului-dahuluilah si orang Walana itu. Cegat, cegatlah si orang Solo’. Dahuluilah bersanding di atas pelaminan emas. Sungguh takkan kubiarkan Punna Lipu’E Cina Rilau kebali kenegerinya. Saya berkeinginan menyandera usungan putri juwita dari Cina Rilau.”
Bergantian pamandanya menasehati La Galigo, demikian pula ayahandanya turut menasehatkan, bahwa:
“Janganlah wahai ananda Semmagga engkau menyandera usungan dari Cina Rilau. Jangan sampai hal itu menurunkan martabat pamndamu La Makkasau. Jikalau susungan putrinya tersandera. Biarkalah sepupumu itu kembali ke kampung halamannya.”
I La Galigo tidak sudi mendengarkan nasehat ayahnya, lalu berkata:
“Perkenankanlah wahai ayahanda adindaku I Da’batangeng tetap tinggal di istana Latanete, sementara itu ayahanda mengirimkan utusan untuk meminangnya pada baginda La Makkasau di Cina Rilau.”
Berbalaslah Sawerigading:
“Mengapakah gerangan wahai ananda Galigo engkau berkeinginan menyandera usungan dari Cina Rilau, padahal kita tidak menguasai wilayah kekuasaan pamandamu. Kita tidak dapat memaksakan kehendak sendiri terhadapnya.”
Namun I La Galigo sudah lupa diri, tidak sudi lagi mendengarkan nasehat.