Selasa, 1 April 2014

KETOKOHAN PENGARANG KARYA AGUNG

SYEIKH SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI: PEMIKIR ILMU TASAWUF

LATAR BELAKANG TOKOH


Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri. Beliau merupakan seorang ahli sufi yang terkemuka di Nusantara. Di hujung namanya tertulis ‘as-Sumatra-i’. Pada semua manuskrip karyanya juga tertulis demikian namun semua penulis bahkan penulis yang pertama mengubahnya menjadi al-Sumatrani yang membawa maksud beliau berasal dari Sumatera Indonesia. Sebenarnya tambahan huruf ‘n’ antara huruf ‘a’ dan ‘i’ yang telah dilatinkan itu hanyalah salah penyemakan sahaja dari huruf hamzah yang ditulis sebelum huruf ya. Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatera itu menurut kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan.

Oleh itu, Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i bermakna Syeikh Syamsuddin yang berasal dari Sumatera. Jika ditambah atau ditukarkan dengan ‘ni’, bermaksud nama tempat asal Syeikh Syamsuddin yang dibicarakan ini berasal dari Sumatran. Nama Sumatran memang ada disebut dalam Hikayat Ahmad Bustaman yang merupakan hikayat yang bercorak dongeng semata-mata. Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumatrani ataupun Pasai yang diletakkan di belakang namanya itu membuktikan bahawa adanya dua kemungkinan.  

Pertama, kemungkinan besar orang tuanya merupakan orang Pasai. Maka, dengan itu dikatakan bahawa beliau sememangnya dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kedua, sekiranya beliau tidak dilahirkan di Pasai, kemungkinan beliau telah lama menetap di Pasai. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani  hidup pada abad ke 16 Masihi sehingga 17 Masihi. Beliau ialah Sheikul Islam atau mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayid al-Mukammil  pada tahun 1589 sehingga tahun 1604. Pendidikan awal Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani secara terperinci tidak dapat dikenalpasti oleh para sejarawan tetapi hal yang pasti ialah beliau merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, iaitu seorang wali Allah di Tanah Jawa.

Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani terkenal sebagai salah seorang pendukung kuat fahaman Martabat Tujuh yang boleh dikategorikan sebagai fahaman yang mencetuskan kontoversi. Beliau tergolong dalam kumpulan empat orang ulama agung Aceh. Beliau meninggal dunia dan di makamkan di Melaka. Beliau dipercayai telah terlibat sama ketika serangan Aceh ke atas Portugis yang dilancarkan pada tahun 1929 semasa Aceh berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat (1607-1636).

Tarikh wafatnya telah dicatatkan oleh musuhnya, Nuruddin ar-Raniri iaitu pada malam Isnin 12 Rejab 1039H/1630M. Selama beberapa dekad terakhir dari masa hidupnya, beliau merupakan tokoh agama terkemuka yang sangat dihormati dan disegani oleh masyarakat. Makamnya masih lagi kekal terpelihara di Kampung Ketek,  kota Melaka, Malaysia. Kampung tersebut tidak jauh daripada Masjid Kampung Hulu yang berusia hampir 300 tahun lamanya.

Menurut para sejarawan, asal usul dan latar belakang Syamsuddin al-Sumatrani agak kabur kerana tidak dicatatkan dengan terperinci oleh beliau. Hanya sebutan Sumatrani di belakangnya sahaja yang dapat membuktikan bahawa beliau berasal dari Sumatera atau Pasai. Terdapat sumber tertua yang dijumpai mengenai kisah perjalanan hidup Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Sumber yang dimaksudkan itu ialah Hikayat Aceh, Adat Aceh dan kitab Bustanul al-Salatin. Walaupun begitu, bukanlah keseluruhan perjalanan hidupnya dicatat dalam manuskrip tersebut. Hanya serpihan-serpihan data sejarah yang terbatas sahaja berjaya ditemui oleh pengkaji pada waktu itu.

HASIL KARYA

Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan seorang penulis yang sangat berkebolehan dalam menghasilkan karyanya. Karya-karya yang ditulis oleh beliau kebanyakannya dalam tulisan Arab dan bahasa Melayu (Jawi). Antara contoh hasil karya beliau ialah:
  1. Jawhar al-Haqa'iq (30 halaman; berbahasa Arab), merupakan karyanya yang paling lengkap yang telah disunting oleh Van Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang Martabat Tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. 
  2. Risalah Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8 halaman; berbahasa Arab). Karya yang telah disunting oleh Van Nieuwenhuijze ini mengandung penjelasan tentang perbezaan pandangan antara kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.
  3. Mir’at al-Mu'minin (70 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan ajaran tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, para malaikat-Nya, hari akhirat, dan qadar-Nya. Pengajaran dalam karya ini membincangkan mengenai hal-hal akidah seiring dengan fahaman Ahlus Sunnah wal Jama'ah (tepatnya Asy'ariah-Sanusiah). 
  4. Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah Fansuri. Isinya antara lain menjelaskan mengenai pengertian kesatuan wujud (wahdat al-wujud).
  5. Syarah Sya'ir Ikan Tongkol (20 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan (syarh) terhadap 48 baris sya'ir Hamzah Fansuri yang mengupas mengenai soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana' daripada Allah.
  6. Nur al-Daqa'iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman berbahasa Me1ayu). Karya tulis yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953) mengandungi pembicaraan tentang rahsia ilmu makrifah (Martabat Tujuh). 
  7. Thariq al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini mengandung penjelasan tentang beberapa istilah seperti kewujudan 'adam, haqq, bathil, wajib, mumkin, mumtani’ dan sebagainya.
  8. Mir’at al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini membincangkan tentang ma’rifah, martabat tujuh dan tentang roh.
  9. Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan mengenai ma’rifah atau martabat tujuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan