Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) pula, adat bermaksud
peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat
(sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi). Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), istiadat bermaksud peraturan atau cara-cara
melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Pengertian istiadat mempunyai
kaitan dengan adat. Apabila kita menyebut adat istiadat, ia membawa dua maksud
iaitu pelbagai adat dan upacara termasuk peraturan pelaksanaannya. Sehubungan
dengan itu, berbeza dengan undang-undang, istiadat boleh dikatakan tidak
melibatkan hukuman atau denda tertentu.
Terdapat dua jenis adat yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin,
iaitu adat yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat
yang melibatkan hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang-undang dan larangan
Diraja. Antara undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah
derhaka, menggunakan hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa atau
seumpamanya, tidak mengadap raja pada hari-hari tertentu, biadab kepada raja
atau wakil, mencuri, membuat fitnah dan Mengambil isteri orang .
Undang-undang pertama ialah derhaka. Seorang penderhaka yang
berdosa boleh dihukum bunuh oleh raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati
ke atas penderhaka buat pertama kalinya kepada Tun Jana Khatib yang disifatkan
sebagai seorang penderhaka apabila disyaki oleh Paduka Seri Maharaja kerana
cuba menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaan membelah
pohon pinang melalui tilikan mata (Sulalat al-Salatin: 55). Seterusnya ialah
menggunakan hak raja tanpa izin. Pelaksanaan undang-undang ini dapat dikesan
semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah
apabila Hang Tuah menggunakan hak raja, iaitu gundik raja. Walaupun banyak
berjasa kepada baginda dan raja, itu tidak dapat menjamin Hang Tuah terselamat
daripada hukuman bunuh (Sulalat al-Salatin: 97).
Undang-undang juga menetapkan bahawa rakyat atau pembesar tidak
boleh merampas kuasa. Hal ini jelas apabila Sultan Mahmud Syah menjatuhkan
hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja setelah mendapat aduan bahawa
Bendahara merancang hendak merampas kuasa raja (Sulalat al-Salatin: 205).
Undang-undang seterusnya ialah tidak mengadap raja pada hari-hari tertentu
seperti hari raya. Pesalah boleh dijatuhi hukuman bunuh sekiranya sebab yang
diberikan tidak bersesuaian. Hal ini terjadi semasa pemerintahan Sultan Mahmud
Syah yang memerintahkan hukuman bunuh ke atas Seri Bija Diraja kerana tidak
mengadap baginda pada hari raya (Sulalat al-Salatin: 153).
Seseorang yang tidak menghormati wakil raja akan dihukum bunuh
kerana dianggap mahu menunjukkan kuasa. Undang-undang ini ternyata dipraktikkan
apabila Tun Perpatih Hitam telah menguis tikar ketika perbicaraannya sedang
berlangsung di hadapan Bendahara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya itu.
Tindakannya itu telah mengundang padah apabila Laksamana bertindak membunuhnya
kerana menjadi tanggungjawabnya (Sulalat al-Salatin: 172). Sulalat al-Salatin
juga tidak ketinggalan mengenai undang-undang menghukum seseorang mencuri. Hal
ini sendiri telah dilaksanakan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang bertindak
membunuh pencuri-pencuri tersebut dengan keluar sendiri pada waktu malam (Sulalat
al-Salatin: 137).
Undang-undang membuat fitnah juga turut dilaksanakan dalam Sulalat
al-Salatin. Si penyampai fitnah akan dihukum bunuh. Raja Mendeliar telah
bertindak memfitnah Bendahara Seri Maharaja dan telah dijatuhkan hukuman
(Sulalat al-Salatin: 207). Undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin
juga tidak terlepas daripada kesalahan bersekedudukan dengan isteri orang serta
tunangan orang. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum bunuh tanpa mengira
orang itu pembesar mahupun sultan. Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan isteri
Tun Biajid. Sekiranya Tun Biajid tidak berpegang kepada konsep pantang Melayu
menderhaka, sudah pasti Sultan Mahmud Syah sudah dibunuhnya. Baginda sedar akan
kesalahannya itu dan tidak menyalahkan Tun Biajid dengan tindakannya itu (Sulalat
al-Salatin: 157).
Berdasarkan Sulalat al-Salatin, larangan diraja pertama kalinya
dilaksanakan oleh Sultan Muhammad Syah sebaik sahaja baginda memeluk Islam
Antara larangan-larangan tersebut dilarang memakai kain kuning dalam perhiasan
tertentu, membuat rumah bentuk-bentuk tertentu, membuat perahu berhias tertentu;
memakai perhiasan emas, memakai keris dalam cara-cara tertentu dan dilarang
penggunaan payung warna putih hanya untuk anak raja dan kuning hanya untuk raja
(Sulalat al-Salatin: 60-65).
Terdapat dua jenis adat yang tidak melibatkan hukum, iaitu aturan
atau peraturan negeri dan istiadat. Antara aturan negeri yang terdapat dalam
Sulalat al-Salatin ialah negeri kalah raja mati, perlantikan pengganti seseorang raja, mengadap
atau menjunjung duli dan aturan pengurniaan gelaran. Satu hal yang menarik
dalam peraturan negeri sebagaimana yang diperlihatkan oleh Sulalat al-Salatin
ialah penguasaan raja ke atas negeri tersebut. Walaupun negeri telah oleh satu
kuasa luar, sedangkan raja masih hidup tetapi melarikan diri. Raja tersebut
masih berkuasa ke atas negeri itu kerana menurut aturan “negeri kalah raja
mati”. Hal ini berlaku dalam peristiwa di mana ketika Sultan Iskandar Syah
diserang Majapahit. Baginda telah bertindak melarikan diri ke Muar (Sulalat
al-Salatin: 57). Perlantikan pengganti seseorang raja dalam Sulalat al-Salatin
kebanyakannya dilakukan oleh raja itu sendiri melalui wasiatnya sebelum
mangkat. Setelah itu barulah raja yang baru akan dijunjung duli oleh pembesar
dan rakyat jelata (Sulalat al-Salatin: 54).
Ketika mengadap atau menjunjung duli terdapat peraturan khusus
mengenainya tempat duduk para pembesar disusun secara bertingkat-tingkat
bermula dengan Bendahara, Penghulu Bendahari, hulubalang besar, para menteri (Sulalat
al-Salatin: 30). Ketika mengadap raja, mana-mana pembesar termasuk Bendahara
tidak boleh disembah sebelum raja ataupun di hadapan raja. Peraturan ini
tergambar ketika pembesar-pembesar menunggu Sultan Mahmud Syah keluar untuk
berhari raya. Tindakan Raja Mendeliar yang hendak menyembah Bendahara telah
menyebabkan kemarahan Bendahara Seri Maharaja (Sulalat al-Salatin: 203).
Bagi aturan pengurniaan gelaran, mereka akan dilantik mengikut adat
perlantikan gelaran. Ini dapat dilihat dalam peraturan yang telah ditetapkan
oleh Sultan Muhammad Syah (Sulalat al-Salatin: 62)
Istiadat meliputi pelbagai upacara yang dijalankan oleh kelompok
manusia, namun dalam Sulalat al-Salatin lebih memberikan perhatian kepada
golongan raja dan kerabatnya sahaja. Istiadat-istiadat itu termasuklah istiadat
perkahwinan, melenggang perut, melahirkan anak, bertindik atau berkhatan,
kematian dan pertabalan raja. Istiadat perkahwinan ini dapat dilihat melalui
perkahwinan yang berlangsung antara Raja Iskandar dengan Tuan Puteri Syahr
al-Bariyah. Pelbagai istiadat telah berlangsung sepanjang proses peminangan,
akad nikah dan persandingan tersebut (Sulalat al-Salatin: 5-7). Sulalat al-Salatin
memperlihatkan istiadat menyambut kelahiran bayi ketika Tun Fatimah melahirkan
anak lelaki Sultan Muhammad Syah yang bercukur jambul dan ditabal sebagai
Sultan Muda selepas 40 hari kelahirannya (Sulalat al-Salatin: 216).
Istiadat berkhatan tidak terdapat banyak dalam Sulalat al-Salatin
tetapi hanya dinyatakan sahaja. Kita dapat lihat apabila Tun Perpatih Tulus
Tukang Segara mencadangkan supaya Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Malik
al-Zahir dikhatankan. (Sulalat al-Salatin: 52). Istiadat pengebumian juga hanya
dinyatakan sahaja tanpa memperincikan bagaimana istiadat pengebumian itu
dilakukan. Hal ini dapat dilihat apabila hanya dinyatakan “mayat Sultan Malik
al-Mansur pun ditanamkan oleh paduka baginda seperti tertib raja-raja yang
besar-besar” (Sulalat al-Salatin: 54). Istiadat pertabalan raja dipraktikkan
oleh Seri Teri Buana yang dijadikan raja Palembang selepas selesai upacara
permandian selepas dikahwinkan dengan Tuan Puteri Uwan Sundari (Sulalat
al-Salatin: 25)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan