Dalam
teks Salalatus Salatin terdapat banyak adat yang diamalkan. Antara adat yang
terdapat dalam Salalatus Salatin ialah:
1)
Adat Penganugerahan Gelaran
Adat
ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana.
Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal
diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan
‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan
menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah
akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Mereka akan diiringi dengan
payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka
akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja.
Sebagai contoh, anugerah bendahara akan diberi lima ceper persalinan. Situasi
ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Jika baginda menggelar orang, maka
raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika
"Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Persangan",
orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput
dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut
berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa
berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai, tetapi payung
itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung
kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri.
Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung
ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian.
Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
(A. Samad Ahmad,1979: 76)
2)
Adat Mengadap Raja di Balairung
Semasa
mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung.
Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti
bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak-
anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida-
sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang
berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan
aturan mengadap raja di balairung. Situasi ini dapat digambarkan melalui
petikan teks di bawah:
Kemudian daripada itu maka Raja
Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama
dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah
mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda segala Hamba
yang khas dan segala yang kepercayaannya.
(A. Samad Ahmad, 1979:5)
Adapun apabila raja dihadap orang
di balairung, maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung, dan segala
menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai; maka
segala anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala
sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara Bentara, dan hulubalang
muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang, dan kapala bentara yang
di kiri itu, daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi Bendahara dan
Penghulu Bendahari dan Temenggung; dan kepala bentara yang di kanan itu,
daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija
Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barang
siapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barang siapa bergelar Tun
Pikrama bakal Bendahara.
(A.Samad Ahmad, 1979:
75)
3)
Istiadat Raja ke Istana
Institusi
beraja dalam Sulalatus Sulatin mempunyai kepelbagaian adat istiadat yang
mengikut aturan termasuklah adat istiadat raja masuk ke istana. Ketika raja
akan ke istana gendang akan dipalu sebanyak tujuh ragam dan nafiri akan
dibunyikan. Setelah selesai palukan gendang kali ke tujuh, raja keluar bergajah
diarak ke istana. Rakyat yang hadir akan duduk bersila di tanah. Situasi ini
dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan di Bintan gajah memangku
puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang Lebar Daun, menyandang
pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda berjalan di hadapan gajah
baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria Bupala memegang gading
kiri. Maka payung iram-iram kerajaan putih pun terkembanglah empat, serta
cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah. Maka diarak oranglah baginda
masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala
menteri hulubalang kedua buah negeri itu, terlalu sabur rupanya. Mereka yang
melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu. Maka disuruh arak oleh
Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak oranglah masuk ke dalam
rong sekali, terkepil di atas rong dalam.
(A. Samad Ahmad, 1979:25)
Berdasarkan sulalatus sulatin ini, Raja Iskandar berjalan dihadapan gajah
baginda berserta dengan menteri baginda iaitu, Menteri Bupala memegang gading
kanan manakala Aria Bupala memegang gading kiri. Orang suruhan baginda akan
berjalan dihadapan gajah baginda. Payung iram-iram putih kerajaan juga turut
digunakan semasa perarakan tersebut. Segala bunyi-bunyian dimainkan dan
diiringi menteri kedua-dua buah negeri melalui pasar sebelum masuk ke balai
rong.
4)
Adat Menjunjung Duli
Adat
menjunjung duli juga terdapat dalam Sulalatus Sulatin. Adat istiadat ini
diadakan apabila empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada
sida-sida akan duduk di Seri Balai. Segala perkakas seperti ketur, kendi,
kipas, dan barang yang diselang kedudukannya. Pedang pula berada di sebelah
kiri dan kanan. Pedang kerajaan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja. Situasi
ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan jika menjunjung duli,
dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk
di Seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-besar. Adapun nakhoda
Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang
bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti
ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya; melainkan
puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan kanan; pedang kerajaan itu, Laksamana
atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu.
(A.Samad
Ahmad, 1979:75)
5)
Adat Menyambut Kedatangan Utusan Kerajaan Luar
Adat
menyambut utusan juga terdapat dalam Sejarah Melayu ini. Adat istiadat ini
diadakan apabila kerajaan menerima kehadiran orang utusan luar yang dalam ke
negeri untuk menyampai sesuatu utusan. Dalam Salalatus Salatin ada mengisahkan
penerimaan surat dari Pasai atau Haru yang dijemput dengan pelbagai alat
kerajaan seperti gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dan lain-lain
lagi. Apabila surat sampai ke balai, disambut oleh hulubalang asal iaitu Kepala
Bentara dari kanan. Kepala bentara yang dari kiri menyampaikan titah raja
kepada utusan, Kepala Bentara yang kanan menyampaikan sembah. Jika surat dari
negeri lain, sambutannya kurang sedikit. Sekadar gendang serunai dan payung
kuning. Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan. Jika
utusan raja besar yang hadir akan diberi payung kuning dan putih. Sambutan ini
dibuat secara besar-besaran. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks
di bawah:
Dan apabila utusan datang atau
pergi, ceper dan kerikal dibawa hamba raja dari dalam, maka disambut oleh
kepala bentara yang di kanan, kerikal itu diletakkan had Bentara. Maka ceper
dan tetampan diberikan pada orang yang membawa surat. Kija surat dari Pasai
atau dari Haru, dijemput dengan selengkap alat kerajaan: Gendang, serunai,
nafiri, negara, payung putih dua berapit: melainkan mendeli juga yang tiada
pergi menjemput itu: dan menteri mengepalakan gajah, dan bentara di buntut
gajah: sida-sida membawa surat dengan penghulu biduanda kecil; dan gajah
dikepilkan di hujung balai, kerana raja dua buah negeri itu sama besarnya
dengan raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.
(A.Samad
Ahmad, 1979:76)
6)
Adat Memberi Persalinan
Adat
persalinan ini diadakan kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan
diberikan kepada utusan mengikut darjat. Adat diceritakan dalam Salalatus
Salatin jika Bendahara lima ceper persalinan, anak raja empat ceper, tidak ada
ikat pinggang. Bendahara sida-seda hulubalang, kita ceper. Orang bersalin
memakai pontoh dan petam. Cara memakai pontoh mengikut gelaran dan darjat. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Maka datanglah persalin; jika akan
jadi Bendahara, lima ceper persalinannya; baju seceper, kain seceper, destar
seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper; jikalau anak raja-raja dan para
menteri cateria empat ceper juga, ikat pinggang tiada; jikalau bentara
sida-sida hulubalang tiga ceper; kain seceper, baju seceper, destar seceper,
ada yang semunya sekali seceper, ada yang tiada berceper, kain, baju destar di
biru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja, datang pada orang bergelar itu
disampaikan di lehernya. Maka dipeluk oleh orang itu lalu dibawanya keluar. Dan
jila persalinan utusan, demikian juga adatnya, masing-masing pada patutnya.
(A.Samad
Ahmad, 1979:77)
7)
Adat Raja Berangkat Pada Hari Raya Secara Berusungan
Raja
akan berangkat dengan usungan. Kepala usungan kanan akan dipegang
oleh Penghulu Bendahari dan sebelah kiri oleh
Laksamana. Di sebelah belakang pula Menteri
Kedua. Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat
kerajaan di kiri dan kanan, sementara Bentara memikul
pedang. Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh
segala orang besar dan segala menteri yang tua. Situasi ini dapat digambarkan
melalui petikan teks di bawah:
Syahadan apabila raja berangkat
hari raya berusung, Penghulu Bendahari memegang kepala usungan yang di kanan,
dan yang di kiri Laksamana, dan di
belakang itu Menteri keduanyya memegang dia, dan pada rantai dekat kaki raja. Seri
Bija Diraja memegang dia; dan bentara, hulubalang berjalan dahulu di hadapan
raja, masing-masing dengan jawatannya. Segala alat kerajaan dibawa orang
berjalan di hadapan raja, tombak kerajaan sebatang sebatang dari kiri dan
sebatang dari kanan; di hadapan raja segala bentara memikul pedang, dan
dihadapan sekali segala orang yang berlembing adapun jogan di hadapan raja, dan
di hadapannya gong gendang dan segala bunyi-bunyian, negara dari kanan, nafiri
dari kiri; jikalau berjalan, lebih kanan daripada kir; pada kedudukan, lebih
kiri daripada kanan …
(A.Samad
Ahmad, 1979:78)
8)
Adat Menyambut Hari Raya
Bendahara
dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh
Penghulu Bendahari. Apabila usungan tiba, segala orang
yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu
tujuh ragam, diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki
gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.
9)
Adat Raja Menunggang Gajah
Temenggung
berada di bahagian kepala gajah, Laksamana di buntut gajah dan bebtara pula
memikul pedang kerajaan. Orang besar-besar berada di sebelah kiri gendang dan
orang berpangkat rendah berada di sebelah kanan gendang. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Bermula jika raja bergajah,
Temenggung di kepala gajah, Laksamana atau Seri Bija Diraja di buntut, bentara
memikul pedang kerajaan. Adapun jika mengadap nobat, barang orang Besar-besar
dari kiri gendang; barang orang kecil dari kanan gendang. Adapun yang kena
sirih nobat pertama Bendahara dan anak raja-raja …
(A.Samad
Ahmad, 1979:78)
10)
Adat Menyambut Malam Tujuh Likur Atau Malam Dua Puluh Tujuh
Pada
waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan
serta segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu ke masjid. Keesokannya,
laksamana akan mengarakkan serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid
bertengkolok dan berbaju sarung. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan
teks di bawah:
Syahadan jika malam dua puluh
tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggung
mengepalakan gajah; maka puan segala alat kerajaan dan gendag, semuanya diarak
dahulu ke masjid. Setelah malam maka raja berangkat seperti adat hari
sembahyang terawih, sudah itu berangkat kembali. Setelah esok harinya maka
Laksamana mengarak serban, adat raja-raja Melayu berangkat ke masjid
bertengkolok berbaju sarung, itulah yang jadi larangan pada orang kahwin;
barang siapa yang dikurnia maka beroleh memakai dia; dan memakai cara Keling
itu pun larangan lagi, melainkan barang siapa sedia pakaian, dapatlah
dipakainya sembahyang dan kahwin. (A.Samad
Ahmad, 1979:79)
11)
Adat istiadat perkahwinan Diraja
Adat
ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh
hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu
barulah diadakan majlis akad nikah. Misalnya perkahwinan antara Raja
Omar dengan Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas
belanja, perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi. Raja Omar dan Raja
Fatimah dihiasi dengan pakaian kerajaan yang bertahtakan ratna mutu intan
baiduri. Kemudian Raja Omar dinaikkan ke atas gajah dan diarak dengan
bunyi-bunyian. Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah sekali. Situasi
ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Setelah genaplah empat puluh hari
empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan
Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan kerajaan yang
bertahtakan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan
orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana
Hang Nadim di buntut; maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan
segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri, negara, madeli, terlalu azamat
bunyinya, bercampur dengan bunyi bedil pegawai istinggar, seperti kacang
direndang; diarak lalu ke dalam, maka gajah pun terkepillah di astaka
balai.maka Sultan Alau’d-Din sendiri menyambut tangan anakanda baginda, Rja
Omar, sebelah kanan dan Bendahara sebelah kiri, dipimpin ke seri balai,
didudukkan di atas ciu yang keemasan; maka tampillah kadi menikahkan baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan