Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar
cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang
Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai
bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan,
keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang
laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan
Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.
Pada masa umurnya sepuluh tahun, Hang Tuah bersahabat karib dengan empat
orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan
Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi,
Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil
berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka
pada usia yang begitu muda.
Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran
seorang pahlawan Jawa yang termasyhur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya
memperoleh sebilah keris yang dinamakan ‘Taming Sari’ sempena nama pemiliknya
yang asal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris
‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri
Betara.
Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan sultan dan hal ini
menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma
Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau
dituduh berzina dengan dayang sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi
hukuman mati oleh sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun,
hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan
di Inderapura.
Hang Jebat telah melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan
Mansur Shah demi membalas kematian Hang Tuah. Sultan telah mengisytiharkan Hang
Jebat sebagai penderhaka dan berasa menyesal kerana menjatuhkan hukuman mati
kepada Hang Tuah.
Akhirnya, bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang
daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh sultan. Suatu perlawanan
yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas
berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan
mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum
menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kemudian, orang-orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan
membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan
kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan
Melaka telah berjaya ditewaskan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka
mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.
Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat
lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi
beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri
dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu
Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai
Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory
of the World Register pada 2001.
“Kemasyhuran kitab
sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang
pernah berdiri sebagai sebuah negara Melayu yang paling kuat, agung dan kaya
pada abad ke-15. Lantaran itu, karya tersebut sering kali diselidiki sebagai sebuah
dokumen sejarah yang menggambarkan antara lain, kelahiran kerajaan Melaka
bersekali dengan tamadun Melayu Islam Berajanya, pengluasan kuasa pemerintahnya
serta pelbagai aspek dan titik bengik kehidupan kesultanan tersebut yang
berakhir dengan episod keruntuhannya akibat serangan Portugis pada tahun 1511
M. Bermakna, Kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber rujukan utama yang
bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan Melayu awal.”
Hikayat Abdullah
memerikan akan betapa kasihnya Abdullah akan ibunya, Salamah. Peri Abdullah
menerima pendidikan. Abdullah memerikan sebilangan guru yang mengajarnya.
Abdullah memberikan pandangan peribadinya akan peri pentingnya ilmu dalam
kehidupan kita. Abdullah mencatat pemandangan dan suasana Kota Melaka
yang ramai penduduknya. Abdullah memerikan kerja-kerja merobohkan tembok-tembok
kota Melaka dengan perintah Raja Farquhar. Kota itu diruntuhkan dengan
menggunakan bom. Salah satu episod betapa bijaknya Encik Sulong menangkap
gajah. Hanya seekor sahaja yang hidup daripada puluhan yang ditangkap. Abdullah
memerikan ekspedisi penangkapan gajah itu dari mula hingga akhir.
Oleh: Abdul Manaf Bin Mohd .Yasir
Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua
orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Pada awalnya,
mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika menebas hutan untuk membuka
negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dari sebuah
pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya sebagai
anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula
mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu
dinamakan Merah Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah
dinikahkan. Mereka mendapat dua orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau
dan Merah Hasum.
Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai
rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia meminta untuk mencabut rambut itu
dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak mengizinkannya. Namun demikian,
Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang tidur. Akibat
daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung kemudian
beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat
marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya
dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya,
kedua-dua raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut.
Oleh: Raja Noraniza Binti Raja Abdullah
HIKAYAT INDERAPUTERA
Hikayat
ini mengisahkan perihal seorang putera yang bernama Inderaputera, putera kepada
Maharaja Bikrama Buspa yang memerintah negeri Samantapuri. Kelahirannya yang
telah lama ditunggu-tunggu oleh ayahanda dan bondanya disambut dengan
bunyi-bunyian dan penuh dengan adat istiadat. Ahli nujum datang untuk menilik
nasib putera itu. Ahli nujum itu menyatakan bahawa pada usia Inderaputera tidak
patut dibiarkan bermain bersama binatang kerana takut bencana akan menimpanya.
Inderaputera juga diramal akan menjadi maharaja yang besar dan disegani oleh
kawan mahupun lawan.
Oleh:
Mimi Syahirah
MOHON GUNAKAN YA. TERIMA KASIH
BalasPadam