Syamsuddin al-Sumatrani adalah salah seorang sufi
Nusantara yang sering juga disebut Syamsuddin Pasai. Nama lengkapnya adalah
al-Syaikh Syamsuddin ibn Abdullah al-Sumatrani. Ia berasal dari Sumatera, yang
pada saat itu dikenal dengan nama Samudra Pasai. Ia hidup pada masa kerajaan
Aceh Darussalam di bawah rezim Raja Iskandar Muda (1607-1636 M). Beliau adalah
penerus ajaran wujudiyyah Hamzah Fansuri, yang pada akhirnya ajaran-ajaran
beliau ditentang keras oleh Syaikh Nuruddin al-Raniri yang hidup pada masa
rezim Raja Iskandar Tsani (1636-1641 M).Beliau dikatakan lahir antara tahun 1575-1630
M dan beliau dikatakan meninggal dunia pada saat kekalahan pasukan Aceh melawan
Melaka, iaitu, 12 Rejab 1039 H atau bersamaan dengan 24 Februari 1630 M.
Tauhid adalah ajaran utama Syaikh Syamsuddin, iaitu
tentang wujud Tuhan yang satu. Beliau merupakan penganut fahaman wahdat
al-wujûd dan dikenali sebagai salah satu tokoh terkemuka kaum wujûdiyyah yang
ada di Aceh. Beliau mengatakan bahawa tidak ada (sesuatu pun) dalam wujud
kecuali Tuhan. Pandangan tidak ada mawjûd selain Tuhan dalam pengajaran Syaikh
Syamsuddin ini disebut dengan ajaran tauhid murni atau tauhid hakiki (al-tawhîd
al-khâlis).
Pemikiran tasawuf dari Syaikh Syamsuddin yang berkaitan
dengan Tuhan dan alam adalah tentang martabat tujuh. Ketujuh martabat itu
adalah martabat ahâdiyyah, martabat wahdah, martabat wâhidiyyah, martabat âlam
al-arwâh, martabat âlam al-mîtsâl, martabat âlam al-‘ajsâm dan martabat âlam
al-‘insân.
Karya-karya :
Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang
dimulai oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai
muridnya. Hal yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama
dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua
tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah
Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah
penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri.
Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin
Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian disokong oleh
beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani. Di dalam
karyanya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf karya-karya
Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi.
Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ada yang ditulis dalam
bahasa Arab dan bahasa Melayu (Jawi). antara karyanya adalah seperti berikut:
1. Jawhar al-Haqa’iq (30 halaman; berbahasa Arab),
merupakan karyanya yang paling lengkap yang telah disunting oleh Van
Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang martabat tujuh dan jalan
untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
2. Risalah Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa
al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8 halaman; berbahasa Arab). Karya yang telah
disunting oleh Van Nieuwenhuijze ini, walaupun sedikit sahaja halamannya tetapi
cukup penting kerana mengandungi penjelasan tentang perbezaan pandangan antara
kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.
3. Mir’at al-Mu’minin (70 halaman; berbahasa Melayu).
Karyanya ini menjelaskan ajaran tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya,
kitab-kitab-Nya, para malaikat-Nya, hari akhirat, dan kadar-Nya. Jadi
pengajarannya dalam karya ini membicarakan butir-butir akidah, sejalan dengan faham
Ahlus Sunnah wal Jama’ah (tepatnya Asy’ariah-Sanusiah).
4. Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa
Melayu). Karya ini merupakan ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah
Fansuri. Isinya antara lain menjelaskan pengertian kesatuan wujud (wahdat
al-wujud). Karya ini bukti yang cukup kuat bahawa Syamsuddin Sumatrani adalah
penyambung aktiviti dan bertanggungjawab menyebarkan ajaran gurunya Hamzah Fansuri.
5. Syarah Sya’ir Ikan Tongkol (20 balaman; berbahasa
Melayu). Karya ini merupakan ulasan (syarh) terhadap 48 baris sya’ir Hamzah
Fansuri yang mengupas soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana’ di dalam
Allah.
6. Nur al-Daqa’iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman
berbahasa Me1ayu). Karya yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953)
mengandungi pembicaraan tentang rahsia ilmu makrifah (martabat tujuh).
7. Thariq al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu).
Karya ini mengandungi penjelasan tentang sejumlah istilah, seperti wujud,
‘adam, haqq, bathil, wajib, mumkin, mumtani’ dan sebagainya.
8. Mir’at al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman;
berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah, martabat tujuh dan
tentang roh.
9. Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah atau martabat tujuh.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=326676031678764&id=100030091101811
BalasPadamSilakan utk buku Jawhar alHaqaiq Shaykh Shamsuddin al-Sumatera'i:Tahkik dan Analisis