Rabu, 23 April 2014

FALSAFAH DALAM SULALAT AL- SALATIN


Falsafah ketaatan dirujuk kepada beberapa orang tokoh yang disebut dalam karya ini, antaranya ialah Demang Lebar Daun, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Hang Nadim dan Bendahara Seri maharaja. Demang Lebar Daun seorang yang taat apabila membenarkan puterinya berkahwin dengan Seri Tribuana manakal Hang Tuah pula terlalu taat kepada Sultan sehinggakan rela menerima hukuman dari Sultan setelah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun beliau tidak bersalah.
“...hatta berapa lamanya datang hujjat’l-balighah akan Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun berkendak dengan seorang dayang-dayang dalam istana raja; ketahuan pada raja. Maka oleh Sultan Mansur Syah, Hang Tuah disuruh bunuh pada Seri Nara al-Diraja...”
                                          (Sulalat al-Salatin, halaman 97)
Petikan di atas menunjukkan bahawa Hang Tuah dihukum oleh raja tanpa usul periksa. Hang Tuah yang taat dan setia pada Sultan tanpa berbelah bagi merelakan hukuman tersebut ke atas dirinya.
Persoalan kesetiaan rakyat banyak diterapkan dalam karya agung ini. Setia menjadi satu persoalan pokok yang terpancar daripada cerita-cerita tradisional. Watak Hang Tuah adalah lambang ketaatan dan kesetiaan rakyat yang mutlak dan watak ini sebenarnya sekadar mewakili rakyat berketurunan Melayu dalam menyempurnakan waadat yang termeterai antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba seperti mana yang tercatat dalam Sejarah Melayu. Dalam episod itu, Demang Lebar Daun bersumpah untuk menumpuhkan segala taat setianya yang tidak berbelah bagi kepada rajanya, manakala di pihak Sang Sapurba pula telah bersumpah jika keturunannya menganayai rakyat, akibatnya negara akan runtuh.
“...maka keduanya pun bersumpah-sumpahlah barang siapa mengubahkan perjanjiannya itu dibalik Allah Subhanahu wa Ta’ala bubungan rumahnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas...”
                                            (Sulalat al-Salatin, halaman 24)
            Baginda Paduka Raja pula dikatakan taat kepada Sultan apabila akur dan tidak memprotes apabila anaknya, Tun Besar dibunuh oleh anak sultan apabila bola sepak raganya terkena dester anakanda Sultan lalu terjatuh ke tanah. Berpegang kepada prinsip “Adat Melayu tidak pernah derhaka”, maka Baginda Paduka Raja menerima perkara tersebut meskipun anaknya mati dibunuh akibat perkara yang kecil dan remeh. Kesimpulan yang dapat dibuat dari falsafah ketaatan ini ialah konsep ketaatan yang diamalkan terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung-agungkan sultan biarpun tindakan sultan tersebut adalah salah dan melampau.
            Falsafah yang kedua ialah ‘waad’. ‘Waad’ merupakan kontrak sosial antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Jika ‘waad’ ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kerdal. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. ‘Waad’ ini dianggap sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dengan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimpal balik. Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyatnya. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk dan patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana.
“... Jikalau anak patik tuanku pakai, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mau akan anak patik itu maulah Duli Yang Dipertuan berwa’ad dengan patik. Maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang Dipertuan...”
                                           (Sulalat al-Salatin, halaman 23)
            Falsafah ketiga ialah falsafah keadilan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah wujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Ganjaran kepada kesilapan adalah hukuman. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan mengenai sikap raja yang adil. Ketidakadilan raja juga dengan beraninya ditonjolkan oleh Tun Sri Lanang. Beliau patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman raja terhadap rakyat dan pembesar-pembesarnya. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja.
“...maka sahut Sultan Mudzaffar Syah, “Beta ini hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan. Yang hamba itu sekali-kali tiada melalui kehendak tuannya, jangan pada jahat sekalipun, tambahan pula sepenuh-penuh karunialah junjung...”
     (Sulalat al-Salatin, halaman 263)
Berdasarkan petikan di atas menjelaskan bahawa Sultan Mudzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Baginda murka terhadap bendahara kerana tergesa-gesa dalam meghukum Sang Setia.
            Falsafah seterusnya ialah adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun-temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam kitab ini terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai dengan peredaran zaman.
“...maka kata segala anak buah bendahara, “Sahaya semua hendak balaskan kematian syaudara sahaya.” Maka kata bendahara, “Kerana isti’adat hamba Melayu tiada pernah derhaka...”
                                                     (Sulalat al-Salatin, halaman 116)
            Berdasarkan petikan di atas menggambarkan ketaatan rakyat kepada raja sehingga tidak mahu berganjak dari adat Melayu iaitu “Adat Melayu tidak pernah derhaka”. Namun, pada zaman sekarang, adat itu tidak digunakan dan tidak dipraktikan langsung oleh rakyat. Hal ini demikian kerana raja dan rakyat mempunyai kepentingan dan kekuatan tersendiri dan saling memerlukan antara satu sama lain. Konsep “Adat Melayu tidak pernah derhaka” sudah berubah pada masa sekarang.
Falsafah yang kelima ditunjukkan ialah falsafah kekuasaan. Karya agung ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa sahaja kepada rakyat dan rakyat wajib menurutnya jika tidak mahu dihukum. Oleh itu, dapat dilihat kuasa raja sebagai kuasa mutlak yang terlalu banyak menindas golongan rakyat. Kandungan karya agung ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa sehingga bertindak di luar batas kemanusiaan. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan pelbagai kekejaman.
“...maka syahut orang muda-muda tiga orang itu, “Adapun kami ini bukan daripada bangsa jin dan peri. Bahawa kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain...”
                                                       (Sulalat al-Salatin, halaman 21)
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan dalam karya-karya tradisional Melayu ialah raja diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Keagungan raja dan negara diangkat menjadi persoalan utama dalam karya-karya kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-gambaran hebat termasuklah diwarnai dengan unsur-unsur dongeng dan mitos. Contohnya, mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar Dzulkarnain dari Makadunia seperti petikan di atas.
            Falsafah keenam yang ditonjolkan ialah keberanian. Keberanian raja merujuk kepada keberaniannya menjajah dan menakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Berdasarkan karya agung ini, turut menceritakan mengenai sikap keberanian ketokohan keberanian Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang sangat hebat. Secara logiknya, sesebuah negeri tidak akan dapat mempertahankan kewujudannya tanpa kehadiran seorang pahlawan yang hebat dan terbilang. Kehebatan watak tradisional melibatkan gambaran ciri fizikal bentuk tubuh badan mereka dan ketangkasan mereka di medan pertempuran khususnya dalam pertarungan senjata, misalnya watak Hang Tuah yang memiliki sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya.
“...maka dipersembahkan orrang kepada Sultan Mansur Syah bahawa Jawa itu sudah mati; Hang Tuah membunuh dia. Maka Sultan Mansur Syah memanggil Hang Tuah, diberi baginda persalinan...”
                                                       (Sulalat al-Salatin, halaman 97)
Selain itu, gambaran kehebatan dengan bantuan atau dengan ciri-ciri tambahan seperti penguasaan ilmu muslihat perang, dibekalkan senjata luar biasa atau sifat-sifat peribadi dan tabiat yang tertentu. Aspek kepahlawanan yang digambarkan dilihat atau dinilai berdasarkan kaca mata sezaman. Oleh sebab pada zaman itu kudrat fizikal adalah segala-galanya dalam usaha mempertahankan maruah diri dan bangsa umumnya.
            Falsafah yang seterusnya ialah falsafah nilai dan etika. Etika dan nilai yang digarap dalam karya agung ini diwarisi rakyat. Selain itu, kitab ini juga menggariskan tugas-tugas raja dan pembesar dan peranan-peranan rakyat. Oleh itu, taat dan setia perlu ditumpahkan kepada raja sepenuhnya. Tanpa peraturan manusia akan hidup dalam keadaan terumbang-ambing dan tidak teratur. Peraturan dan hukum akan mengawal tingkah laku dan perbuatan manusia. Kedatangan Islam ke alam Melayu telah menyedarkan  masyarakat Melayu akan perlunya satu panduan, khususnya tentang ilmu ketatanegaraan berlandaskan nilai dan norma yang dipersetujui bersama atas landasan agama Islam. Panduan untuk raja, pembesar dan rakyat secara tidak langsung digarab oleh penulis dalam karya sastera ini. Pengarang menyelitkan kritikan halus sebagai panduan seperti dalam kisah kegagalan peminangan Puteri Gunung Ledang yang menempelak kerakusan nafsu Sultan Mahmud.

            Kesimpulannya, secara keseluruhan dapat dilihat betapa karya agung ini bersifat sejagat dan menyeluruh. Namun, terdapat unsur-unsur mitos yang seakan-akan tidak masuk akal di dalam karya ini. Kekuasaan yang ditonjolkan oleh raja secara melampau dan juga kezaliman raja menunjukkan betapa tidak adilnya raja pada suatu ketika dahulu. Pepatah Melayu menyatakan “adat Melayu tidak menderhaka” begitu terserap dalam masyarakat Melayu pada ketika masa dahulu.  Selain itu, banyak unsur pengajaran telah dimasukkan ke dalam buku ini dengan tujuan untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada raja-raja Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan