Syeikh Hamzah al-Fansuri dilahirkan di Barus atau Fansur
pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17, tetapi tarikh lahir secara
tepat belum dapat ditentukan. Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di
antara Kota Singkel dengan GosongTelaga (Aceh Selatan). Semasa zaman Kerajaan
Aceh Darussalam, Kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di
bahagian Aceh Selatan. Perbezaan pendapat menyatakan bahawa beliau dilahirkan
di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di Barus. Ayah
Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh pernah menjadi gabenor di
Kota Sri Banoi. Beliau menggantikan Gabenor Wan Ismail yang berasal dari Patani,
yang telah melepaskan jawatan kerana usianya yang lanjut.
Ibu bapa Hamzah telah meninggal dunia ketika beliau masih
kecil. Suasana dan keadaan ini mendorong beliau hidup terpencil dan berdagang
atau mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Sewaktu mengembara dan
berdagang itu, Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu dalam
masa yang lama. Selain menimba ilmu di Aceh, beliau juga telah mengembara ke pelbagai
tempat, di antaranya ke Banten (Jawa Barat).Sumber lain juga menyatakan bahawa
beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India,
Parsi dan Arab.
Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir
dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera
dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula, beliau menguasai dengan kemas seluruh
sektor ilmu Arabiyah dan fasih dalam pengucapan bahasa tersebut. Beliau juga
berkebolehan dalam pelbagai bahasa lain seperti bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan
Jawa. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang
digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.
Menurut Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri
diperkirakan meninggal menjelang tahun 1607, sedangkan L.F Brakel menyebutkan
bahwa Hamzah Fansuri masih sempat hidup hingga tahun 1620.
KEDUDUKAN DAN SUMBANGAN HAMZAH FANSURI TERHADAP
PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU
SYEIKH Hamzah Fansuri ialah seorang ulama dan pujangga
besar Melayu.Beliau merupakan penyair Melayu pertama yang mengubah syair-syair
bersifat agama.Hamzah Fansuri adalah seorang yang sangat terkemuka dalam kalangan
orang Melayu kerana syair-syair dan puisi-puisinya yang menakjubkan.
Syair-syair Hamzah Fansuri yang diketahui tidak kurang 32
untaian. Syair-syairnya dianggap sebagai syair Melayu pertama yang ditulis
dalam bahasa Melayu, iaitu sajak empat baris dengan pola bunyi akhir aaaa pada
setiap barisnya. Ciri-ciri sajaknya yang menonjol di antaranya menjadi puisi
Melayu klasik. Pertama,pemakaian penanda kepengarangan. Kedua, banyak petikan
ayat Al-quran, hadis, pepatah, dan kata-kata Arab. Hal ini menunjukkan cepatnya
proses Islamisasi dalam penggunaan bahasa, kebudayaan dan sastera Melayu abad
ke-16. Ketiga, dalam setiap bait terakhir syairnya selalu mencantumkan
takhallus (nama diri), iaitu nama julukan yang biasanya didasarkan pada nama
tempat kelahiran penyair atau tempat ia dibesarkan. Keempat, terdapat pula
tamsil dan citraan-citra simbolik yang biasa digunakan oleh penyair-penyair
Arab dan Persia dalam melukiskan pengalaman dan gagasannya. Kelima,kerana
paduan yang seimbang antara diksi (pilihan kata), rima dan unsur-unsur puitik lainnya.
Dalam bidang sastera, Hamzah Fansuri mempelopori pula
penulisan puisi-puisi Islam bercorak kesufian, mistik, metafizik dan
pembicaraan terhadap hubungan insan dengan penciptanya dan manusia seluruhnya. Kandungan
puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain yang sezaman atau selepasnya.
Beliau ialah orang pertama yang memperkenalkan syair dan puisi empat baris
dengan skema sajak akhir aaaa seperti sebelumnya. Dilihat dari strukturnya,
syair yang diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri seolah-olah merupakan perpaduan
antara sajak Parsi dengan pantun Melayu. Hamzah Fansuri juga telah berhasil
meletakkan dasar-dasar puitika dan estetika Melayu. Pengaruh itu masih dapat
diamati sehingga sekarang, seperti dalam karya penyair Pujangga Baru,
sasterawan angkatan 70-an dan sebagainya. Bidang kebahasaan,Hamzah Fansuri
telah memberikan beberapa sumbangan. Pertama, sebagai penulis pertama kitab
keilmuan dalam bahasa Melayu, beliau berhasil mengangkat bahasaMelayu menjadi
bahasa intelektual dan ekspresi keilmuan yang hebat. Oleh sebab itu, kedudukan
bahasa Melayu di bidang penyebaran ilmu dan persuratan menjadi sangat penting
dan mengungguli bahasa-bahasa Nusantara yang lain pada waktu itu.
Sumbangan dan pemikiran selanjutnya mengenai kebahasaan
dapat dibaca dalam syair-syair dan risalah-risalah tasawuf Hamzah Fansuri,
sangat besar jasanya dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa
sama saja dengan Islamisasi pemikiran dan kebudayaan. Syair-syairnya bukan
sahaja memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi juga
mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam berbagai-bagai bidang kehidupan
dalam sistem bahasa. Karya-karya sufisme dalam bentuk syair telahmengubah
perspektif dan fungsi sastera ini. Beliau telah memperkenalkan satu dimensi baru
untuk memahami kehidupan dan keindahan. Melalui hasil karangannya, dijelaskan mengapa
orang harus mencari Tuhan dan juga sebagai garis petunjuk untuk mencari Tuhan.
Syair-syair Hamzah sarat dengan estetika, ilmu dan falsafah diolah berdasarkan pengaruh
pantun menampakkan bahawa Hamzah menguasai puisi Parsi bersifat tasawuf dan
memupuk rasa cinta akan Allah. Hamzahlah penyajak Melayu pertama yang menggunakan
syair dalam tulisan agama.
Sesungguhnya, Hamzah melalui pengalaman peribadi dan
dirinya sebagai fokus telah menukar konsep sastera, kepengarangan dan konsep
diri. Paling penting beliau telah mengungkapkan perubahan dari segi persepsi
kehidupan dunia Melayu. Hamzah memberi sumbangan yang sangat besar kepada kesusasteraan
Melayu dan Nusantara.Hasil karyanya mengandungi benih-benih inovasi yang
kemudiannya diwarisi oleh pengarang Melayu seperti Abdullah Munshi, Raja Ali
Haji dan Salleh Perang.
KARYA HAMZAH FANSURI
Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang
Mengesakan).
Syair Si Burung Pingai
Syair Si Burung Pungguk
Syair Sidang Fakir
Syair Dagang
Syair Perahu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan