PEMBUKAAN BEBERAPA BUAH
NEGERI
Pembukaan negeri Melaka. Pembukaan negeri Melaka dapat
dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan seekor
anjing. Raja Iskandar Syah kagum dengan kekuatan pelanduk tersebut. Baginda
seterusnya bercadang untuk membuka negeri di kawasan tersebut. Nama negeri Melaka berasal daripada nama
pokok, iaitu pokok Melaka. Raja Iskandar Syah bersandar pada sebatang pokok dan
menanyakan nama pokok berkenaan pada para pengikutnya. Baginda seterusnya menjadikan
nama pokok berkenaan sebagai nama negeri yang baru dibuka. Mitos ini ada
diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-71.
Maka Raja
Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah sungai,
Bertam namanya, dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datanglah ke sana,
berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu,
sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda “ baik tempat
ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk, jikalau orangnya betapa
lagi?”. Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,”. Maka titah Raja
Iskandar Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.”
Asal- usul Singapura pula dapat dikaitkan dengan
peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama ‘singa’. Pembukaan Singapura
melibatkan Seri Teri Buana, Demang Lebar Daun, Menteri Bupala dan Batala.
Semasa pembukaan Singapura, Seri Teri Buana berteduh di bawah pokok jambu.
Kemudian, tiba-tiba baginda melihat seekor binatang yang berbulu merah pada
tubuh dan mempunyai kepala yang berwarna kehitam-hitaman serta mempunyai bulu
berwarna putih pada dada melintas dengan agak pantas di hadapan baginda.
Seterusnya, baginda bertanyakan nama binatang berkenaan kepada pengikutnya dan
menamakan negeri yang baru dibuka itu dengan nama haiwan tersebut. Kisah
pembukaan negeri Singapura ada diceritakan dalam Sulalaus Salatin pada halaman
ke- 40.
Maka
baginda semayam di bawah pohon jambu laut, dihadap segala Orang Besar-besar ,
berbicara hendak membuat negeri, seraya menitahkan rakyat menebas kayu di
padang itu. Maka segala rakyat pun naiklah menebas, sekonyong-konyong melintas
seekor binatang maha tangkas lakunya merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman
kepalanya, dan putih dadanya, sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada
kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib
daripada mereka itu. Maka titah Seri Teri Buana, “Apa nama binatang serupa
itu?”. Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, “
Tuanku, ceritera orang patik dengar,
yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku.”
Maka titah baginda, “ Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang
gagah ada di dalamya, dan sebutlah Temasek ini Singapura”, sampailah sekarang
disebut orang ‘Singapura’.
Pembukaan Pasai pula dapat dikaitkan dengan peristiwa
anjing Sultan Maliku’s Salleh yang bernama Si Pasai menyalak di suatu
kawasan tanah tinggi. Negeri yang baru
dibuka oleh Sultan Maliku’s Salleh itu diambil sempena nama anjingnya, Si
Pasai. Kisah pembukaan negeri Pasai ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin
pada halaman ke-59.
Setelah
berapa lamanya Sultan Maliku’t Tahir dan Sultan Maliku’l Mansur pun besarlah,
dan negeri Perlak pun alah oleh musuh dari seberang, dan orang Perlak pun
pindahlah ke negeri Semundra. Maka
Sultan Maliku’s Salleh pun berfikir dalam hatinya hendak berbuat negeri
akan tempat anakanda baginda, maka titah
Sultan Maliku’s Salleh pada segala Orang Besar-besar , “ Esok hari kita
pergi berburu”. Setelah pagi-pagi hari maka Sultan Maliku’s Salleh pun naiklah
gajah yang bernama Permadewan itu, lalu berangkatlah ke seberang. Datang ke
pantai, maka anjing yang bernama Si Pasai itu pun menyalak , maka Sultan
Maliku’s Salleh pun segera mendapatkan anjingnya itu menyalak tanah tinggi, sekira-kira
luas tempat istana, dengan kelengkapannya terlalu amat baik, seperti ditempa
rupanya. Maka Sultan Maliku’s Salleh
disuruhnya tebas. Setelah sudah maka diperbuatnya negeri, pada tempat tanah
tinggi itu dibuatnya istana, lalu dinamainya negeri itu ‘Pasai’, menurut nama
anjingnya itu.
Pembukaan Semundra pula dikaitkan dengan peristiwa
Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing. Merah Silu
kemudian makan semut tersebut. Tempat tersebut dinamakan Semundra yang bermaksud semut besar. Kisah
pembukaan negeri Semundra terdapat dalam Sulalatus Salatin pada halaman yang
ke-57.
Adalah pada
suatu riwayat Merah Silu pergi berburu, maka anjingnya bernama Si Pasai itu pun
menyalak. Dilihat Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah tinggi, seperti
ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah tinggi itu, maka
dilihatnya seekor semut besar seperti kucing, maka oleh Merah Silu semut itu
diaambil dan dimakannya. Maka tanah tinggi itu diperbuatnya akan tempat,
dinamainya Semundra ertinya semut besar.
KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU
Kedatangan Islam ke Semundra dikaitkan dengan
peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad (s.a.w). Beliau
bermimpi nabi Muhammad (s.a.w) telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan pada
keesokan harinya, setelah Merah Silu terjaga dari tidur beliau telah boleh
mengaji dan badannya berbau nawarastu. Kisah kedatangan Islam ke Semundra
diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-57.
Syahadan
pada malam itu Merah Silu pun tidur, maka ia dirinya berpandangan dengan
Rasullulah salla’llahu’alaihi wa salam. Maka sabda Rasullulah kepada Merah
Silu, “Ngangakan mulutmu!” Maka oleh Merah Silu dingangakan mulutnya, diludahi
oleh Rasullulah mulut Merah Silu. Maka Merah Silu pun terjaga daripada tidurnya.
Diciumnya bau tubuhnya seperti bau narawastu. Telah hari siang , maka fakir pun
naik ke darat membawa Quran disuruhnya baca pada Merah Silu. Maka oleh Merah
Silu dibacanya Quran itu, maka kata fakir kepada Sheikh Ismail, nakhoda kapal,
“ Inilah negeri Semundra, yang seperti sabda nabi salla’llahu’alaihi wa salam.
Kedatangan Islam ke Melaka pula dikaitkan dengan
peristiwa Raja Kecil Besar atau juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Syah
telah diislamkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) melalui mimpi. Dalam mimpi itu,
Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadah, dikhatankan dan
diberi nama Islam. Pada keesokan harinya, semua perkara yang dimimpikan oleh
baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau nawarastu. Dalam
Sulalatus Salatin, kisah kedatangan Islam ke Melaka diceritakan pada halaman
ke-73.
Maka
dayang-dayang pun memberitahu Bendahara. Maka Bendahara pun segera datang, lalu
masuk ke dalam istana. Maka dilihat Bendahara raja tiada berhenti-henti
daripada menyebut ‘La ilaha I’l Allah. Muhammad –ar-rasullulah.’ Maka kata
Bendahara, “bahasa mana yang disebut Raja
ini?. Titah raja, “ semalam beta mimpi berpandangan dengan keelokan
hadrat junjungan, Rasullulah salla’llahu’alaihi wasalam. Maka segala mimpi
baginda itu semuanya dikatakannya pada Bendahara. Maka kata Bendahara , “
Jikalau benar mimpi raja itu apa alamatnya?”. Maka titah Raja Kecil Besar , “
Alamatnya kalam beta seperti dikhatankan orang, itulah tanda tanda sah hamba
bertemu Rasullulah salla’llahu’alaihi wasalam …
KEKUATAN YANG LUAR BIASA
Badang beroleh kegagahan yang luar biasa yang sukar
dipercayai dan diterima oleh akal manusia. Badang dikatakan memperoleh kekuatan
yang luar biasa setelah dia makan muntah hantu yang selalu mencuri hasil
tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu membolehkannya melakukan
kerja-kerja berat dalam waktu yang singkat dan majikannya berpuas hati dengan
hasil kerjanya. Kisah Badang memperoleh sifat gagah ada diceritakan dalam
Sulalatus Salatin pada halaman ke- 47.
Maka
tersebutlah perkataan seorang perempuan duduk berhuma diam di Sayong, ada
seorang budak, hambanya bernama Badang, kerjanya berhuma akan tuannya juga.
Sekali persetua, pada suatu hari Badang pergi menahan lukah ke hilir pada satu
sungai. Pagi-pagi dijenguknya lukahnya itu, dilihatnya hampa, suatu pun tiada
isinya, tetapi sisik ikan dan tulangnya ada di tepi sungai itu banyak ,
sentiasa hari demikian juga. Maka tuannya bersungut katanya , “ Si Badang ini,
orang pergi menebas menebang, dia leka dengan sebab mengatakan menahan lukah,
seekor ikan pun tiada kupandang, sahaja engkau duduk sama-sam dengan aku laku
rupanya,”. Maka Badang pun diam disunguti oleh tuannya di dalam hatinya berkata
, “ Jikalau belum kudapat yang makan ikan dalam lukah itu belum puas hatiku,”.
Ada pada suatu hari diintainya dari sebalik banir kayu, maka dipandangnya datang
hantu terlalu besar panjang, tubuhnya seperti raga dan janggutnya datang pada
pusatnya. Maka oleh Badang diambilnya parang dan kapaknya, lalu diterpanya
menangkap janggut hantu itu serta katanya “ Engkau inilah makan ikanku dalam
lukahku, sekali ini engkau mati olehku,”. Maka hantu itu pun terkejut serta
dengan takutnya mendengar kata Badang itu, gementar-gementar hendak berlepas
dirinya tak dapat. Maka kata hantu itu , “ jangan aku engkau bunuh, apa
kehendakmu akan aku beri”. Maka fikir Badang “Jika aku hendakkan kaya, jikalau
aku mati, tuan aku boleh akan dia. Jika akau hendakkan ilmu halimun, dapat
tiada aku mati dibunuh orang dan jikalau hendak menjadi Orang Besar-besar,
bukan asal aku. Jika demikian baik aku menuntut
minta kuat dan gagah, supaya aku kuat mengerjakan tuanku. Setelah ia
fikir, maka kata Badang pada hantu itu , “ Berilah aku kuat dan gagah, segala
kayu dan batu yang besar-besar itu dapat aku bantun dengan umbi akarnya dengan
sebelah tanganku juga.” Maka kata hantu itu, “ Baiklah, jikalau engkau
hendakkan gagah seperti maksud itu, maka makanlah muntahku,”.
SINGAPURA DILANGGAR TODAK
Mitos ini mengisahkan tentang peristiwa ikan todak
menyerang Singapura. Peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh
Paduka Seri Maharaja. Peristiwa ini telah menyebabkan ramai rakyat Singapura
mati kerana ditikam oleh ikan berkenaan. Paduka Seri Maharaja mengarahkan semua
rakyat berkubukan betis. Akan tetapi, cara berkenaan telah menyebabkan kematian
rakyat negeri tersebut semakin meningkat. Akhirnya, serangan ikan todak
tersebut berjaya diatasi oleh kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan
batang pisang sebagai kubu. Penceritaan tentang Singapura dilanggar todak ada
pada halaman ke-67, dalam Sulalatus Salatin.
Hatta tidak
berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan
lalu ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati oleh
todak itu, barang yang kena terus menerus olehnya. Maka tiadalah dapat orang
berdiri di pantai itu lagi. Maka gemparlah orang berlari-larian ke sana ke
mari, semuanya mengatakan “Todak datang menyerang kita, banyaklah sudah mati
ditikamnya. Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda
keluar diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah
datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu, barang
yang kena dilompatinya sama sekali matilah. Maka terlalulah banyak orang yang
mati ditikam todak itu. Maka baginda pun menitahkan orang berkotakan betis,
maka dilompati oleh todak itu, terus berkancing ke sebelah. Adapun todak itu
seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak orang mati. Syahadan, pada antara
itu, datanglah seorang budak berkata”Apa kerja kita berkotakan betis ini?
Mendayakan diri kita. Jika berkotakan
batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata
budak itu, maka titah baginda, “ Benar seperti kata budak itu,” maka dikerahkan
baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka dikerjakan oranglah
berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat itu lekatlah
jongornya, tercacak kepada batang pisang itu, dibunuh oranglah bertimbun-timbun
di pantai itu…
KEPIMPINAN DAN KENEGARAAN DALAM SULALATUS SALATIN
Sulalatus Salatin menggambarkan kisah raja Melaka yang
berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan Raja Iskandar
Zulkarnain terbukti melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri
Kida Hindi. Seterusnya, baginda berjaya mengislamkan beberapa orang pemerintah
dan rakyat di negeri tersebut melalui perkhawinan antara baginda dengan Puteri
Syarul Bariyah. Kelebihan yang terdapat melalui jurai keturunan Raja Iskandar
Zulkarnain memperlihatkan bahawa keturunan raja- raja Melaka berasal dari raja
yang besar, gagah serta terkenal. Hal ini secara tidak langsung mengangkat
martabat raja-raja Melayu. Dalam naskah Sulalatus Salatin pernyataan yang
menunjukkan penaklukan Iskandar Zulkarnain terhadap negeri Kida Hindi.
Pernyataan tersebut adalah seperti yang berikut:
A’alam
ketahui olehmu ,pada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang
empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak
Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya., Zulkarnain gelarannya,
sekali persetua baginda berjalan hendak melihat matahari terbit, maka baginda
sampai pada suau bi’at, negeri Hindi. Maka ada seorang raja di tanda Hindi,
terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu dalam tangannya, namanya
Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida
Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja
yang takluk kepadanya. Setelah sudah kampung semuanya maka dikeluarinyalah oleh
Raja Kindi akan Raja Iskandar maka setelah bertemulah segala rakyat antara
kedua belah pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang ada dalam
Hikayat Iskandar itu. Maka alahlah Raja Kida Hindi Raja Kida Hindi itu oleh
Raja Iskandar, ditangkap hidupnya oleh Raja Kida itu, maka disuruhlah oleh Raja
Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membaaa imn, maka Raja Kida
Hindi pun membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam
, dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu ‘illah alahai salam. ..
(Sulalatus Salatin, :
9)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan